Tuhan yang beri kita
rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula. Duit dalam genggaman
kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum tentu lagi
menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya. Andai
ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang
kosong. Tanpa wang, tanpa harta.
Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.
Allah swt berfirman;
"Dan ketahuilah
bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian; sesungguhnya Allah pada sisi-Nya
itu adalah ganjaran yang besar." - [Surah al-Anfal : 28]
"Demi
sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada
musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari
harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada
orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah 2:155]
Bila diuji,
bersabarlah wahai hati. Musibah datang dalam
pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah bagi mereka
yang celik hati dan akalnya. Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap
musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka,
berlapang dada dan kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan
meningkatkan lagi amalan seharian..
Atau bagaimana?
Jarang sekali kita
bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu
merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya,
agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia. Moga kita dijauhi
dari api neraka dan dimasukkan ke syurga. Kerana Dia kasihkan kita.
Sekali-sekala Dia 'mengejutkan' kita dari lena yang panjang. Menyedarkan kita
dari kealpaan dan kelalaian. Kerana semuanya milik Dia. Dia memberi kepada
sesiapa yang Dia ingini sebagaimana firman-Nya;
"Sesungguhnya
Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan
menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah)
adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)." - [Surah
Al-Israk:30]
Wang dan harta yang
kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu menariknya
kembali, dengan pelbagai cara ia 'pergi' dari kita. Contohnya tiba-tiba kita
kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi sesiapa yang miliki
kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau terlanggar pokok,
semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu keluar dari poket
kita. Allah swt berfirman berfirman lagi dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;
"Adakah manusia
mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah
beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?"
Maka, bila Allah
menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah, periksa
dan koreksi diri sendiri. Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah
diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada
tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah mahu 'menegur' kita dengan cara
tersebut.Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;
"Apabila Allah
menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman
baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang
hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di
hari Kiamat." - [Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]
Mungkinkah cara kita
mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?Atau mungkin kita lupa untuk
mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah?Atau mungkin juga kita
menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan
perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.Suatu peringatan dari-Nya, agar
kita tidak terus leka bergelumang dengan perkara-perkara yang dibenci
oleh-Nya.Atau mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita
menerima ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada
kita. Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima
ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?
Firman Allah;
"Tidak ada
sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan
barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada
hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." - [At-Taghabun:11].
Bersabarlah wahai
hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman
kepada-Nya.
Allah berfirman
lagi;
"Jadikanlah
sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh
berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." - [Surah al-Baqarah:45]
"Wahai
orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan
solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah:153]
Wahai hati,
bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang, mohonlah pertolongan
dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa cukuplah Allah sebagai
penolong. Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu,
bila ditimpa musibah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah
"Innalillahiwainnailaihirajiun".
Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada-Nya juga kita
kembali.Muhasabah buat diri ini. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka
yang sabar dan khusyuk..
No comments:
Post a Comment